Tuesday, August 31, 2010

Anak kucing 2 bulan dan keperluan

Setelah anda dapatkan anak kucing, just pastikan ia tidak terlalu lemah atau kelihatan sakit. Ini kerana kebiasaan jika anak kucing lemah dan sakit, peluang untuk tersu hidup adalah tipis.

Umur bawah 2 bulan

Ok, seterusnya tengok jika anak kucing anda boleh makan ape. Selalunya jika masih umur bawah 2 bulan, pastikan dapat susu gantian. Ini penting untuk mencuci perut dan untuk pertumbuhan tulang yang kuat. Pemberian susu ini perlu dilakukan paling kurang 2 kali sehari.

Tidak perlu mandi dengan air yang banyak atau dengan shampu. Cuma gunakan tuala dan basahkan dengan air suam, kemudian lap sahaja.

Untuk anak kucing bawah 2 bulan, sebaiknya sediakan kotak atau bakul yang sesuai dengan saiznya. Jika kotak pastikan ianya tidak terlalu rendah dan tidak terlalu tinggi kerana ia mungkin akan melemaskan anak kucing anda. Untuk bakul perlulah mempunyai ruang untuk bergerak. Jangan tinggalkan anak kucing anda di luar, letakkan kotak itu di dalam rumah sebaiknya. Supaya ia tidak kesejukan. Sediakan juga beberapa kain kasa, atau baju lama ataupun tuala untuk alas tempat tidurnya supaya dapat menyimpan haba.

Kebersihan amat penting pada waktu ini, kerana seekor emak kucing akan selalu membersihkan anaknya. Jadi pada saat ini, kitalah emaknya. Pastikan tempat tidurnya tidak kotor dan berbau, selalu tukar tuala atau kertas yang sudah dikotorkan.

Jadi bila lagi nak bagi makanan keras. Tunggu!

Monday, August 30, 2010

Penjagaan anak kucing yang betul dan menyihatkan

Post selepas ini akan saya kongsi ilmu berkenaan penjagaan anak kucing khususnya.. kerana kebiasaan kita akan lebih suka memelihara kucing dari kecil, maka ramai la yang membeli anak kucing dari pet shop atau mendapatkan anak kucing dari rakan dan sebagainya.

tips dan panduan yang akan saya beri mudah dan merupakan cara yang betul dalam penjagaan anak kucing. malah tips-tips ini adalah berdasarkan pengalaman saya dan juga dari buah mulut orang lain yang pernah saya jumpa. Jadi diharap dengan perkongsian ilmu ini dapatlah anda semua lebih bergembira untuk menjaga dan menyayangi anak kucing anda yang sihat gitu.

tunggu tau post saya yang seterusnya

Friday, August 27, 2010

Pernahkah anda melihat tanda-tanda kucing dijangkiti ringworm (dermatophytosis)...

Sebagai permulaan saya ingin meminta maaf jika lama sudah tidak menulis dan berkongsi ilmu di blog ini. Terima kasih kepada anda yang sentiasa mengunjungi blog ini.

Dermatophytosis atau bahasa mudah ringworm, kadang-kadang dipanggil cacar adalah suatu penyakit kulit yang biasa dijangkiti kucing kita. Ia merupakan masalah fungus dan ejen yang dikenal pasti penyebab ialah Microphorum canis, Trichophyton metagrophytes dan mycrophorum gypseum yang menjadi kebiasaan.

RINGWORM APA?

Ringworm tu sebenar kulat ke cacing? Orang mungkin salah anggap apabila disebut kucing anda dijangkiti ringworm, maka ini adalah masalah cacing. Ringworm itu diberi nama kerana penyakit ini akan membentuk tompok relung merah seperti cincin dan dilihat pertama kali seperti cacing. Hakikatnya ianya bukan cacing tetapi adalah memudahkan kita untuk mengenal pasti tanda-tanda jangkitan.

DIMANA KULAT INI BERADA?

Bagaimana pula kucing anda boleh dijangkiti, melalui udara? air?...Sebenarnya ia berpunca kebiasaan kucing kita yang suka menggali tanah. Tanah pula mempunyai organisma pelbagai dan salah satu ialah Microphorum gypseum. Ada juga antara kucing kita yang gemar menangkap dan memakan tikus dan sekumpulan dengannya, maka dari situ juga Trichophyton metagrophytes akan menjangkiti.

ADAKAH SEMUA KUCING TERDEDAH?

Tetapi kena ingat tidak semua kucing akan mudah dijangkiti. Kebiasaan kucing pada umur 12 bulan ke bawah yang lebih mudah mendapat penyakit ini. Malah kucing yang berbulu panjang dan lebat juga dilihat lebih mudah mendapat jangkitan ini kerana mereka mudah stress kerana berbulu panjang.

BERJANGKIT?

Berhati-hati jika anda merasakan kucing anda mendapat penyakit ini, ia mudah berjangkit ke kucing lain dan juga ke manusia melalui sentuhan.

TANDA DIKULIT

Bagaimana rupa atau tanda-tanda kucing dijangkiti, ianya dapat dilihat jika kucing kita ada tompok-rompok bulu yang gugur dan kita lihat kawasan tompok itu bulat. Kawasan-kawasan yang biasa anda akan meilhat tompok ringworm ialah di kawasan kepala dan kaki. Walaubagaimanapun tempat lain juga akan dapat dijangkiti jua.

Ia akan dilihat berwarna kelabu dan kadang-kala kemerah-merahan, kucing juga akan kegatalan, kulit kawasan dijangkiti akan menjadi kering dan kelihatan seperti ada kelemumur.

Untuk gambaran jelas tengok sahajalah contoh-contoh kucing dan kulit yang telah dijangkiti.

GAMBAR-GAMBAR


Kucing ini mempunyai tompok alopecia di suku kaki hadapan kanannya yang berwarna kemerahan. Hati-hati ketika memegangnya kita juga mudah kena.


Yang ini pula dapat dilihat tompok ringworm di kawasan atas kepada dan agak kelabu tidka kemerahan.


Beberapa tompok ringworm di hujung kaki hadapan, kelihatan ia agak kering, keras dan mungkin kelihatan seperti kelemumur.


PERHATIKAN. Ia telah berjangkit kepada manusia dan selalu juga dapat dilihat di kawasan tangan, lengan, berwarna merah dan saiz lebih kurang syiling 50 sen. Pastikan anda sentiasa menjaga kebersihan diri setelah menguruskan kucing, perlu dicuci sebersih-bersih tangan anda dengan antiseptik atau sabun.


Ini dikira jangkitan telah sampai ke tahap kronik, tompok ini telah membesar dan bermerah. Malah jika dipicit akan keluar cecair.


Tompok ringworm ini sudah kering dan cuba perhatikan dengan dekat terdapat kerumping-kerumping seakan-akan kelemumur.


Anak kucing ini dijangkiti ringworm di kawasan atas mata kanannya.




Bagi kucing berbulu panjang seperti Parsi, Main Coon. Anda perlu menyelak bulu kucing anda selalu supaya dapat dikesan jika kucing anda dijangkiti ringworm seperti di atas, ianya kadang-kala hanya sebesar 10 sen.


Ini adalah kesan jangkitan ringworm pada manusia. Ia kelihatan seperti jangkitan awal kerana masih tidak kemerahan dan struktur kulit juga tidak berubah lagi.


Inilah penjenayah yang kita cari, fungus yang menjadi punca dermatophytosis


Kasihan kucing ini, adakala apabila kucing mendapat jangkitan ini mereka akan menjadi kurang aktif, tidak lagi seceria dulu kerana jangkitan ini membuat kucing tidak selesa.

INGAT! APABILA KUCING ANDA MEMPUNYAI TANDA JANGKITAN SEPERTI DI ATAS, PASTIKAN ANDA SENTIASA MEMBASUH TANGAN DENGAN BERSIH, BAWA KUCING ANDA KE VETERINAR YANG BERDEKATAN DENGAN SEGERA. JIKA ANDA MEMPUNYAI TANDA PENYAKIT YANG SAMA, JUMPALAH DOKTOR MANUSIA DENGAN SEGERA.

Friday, August 20, 2010

Penyakit Pernafasan Kucing atau Selsema Kucing

Gambar-gambar di atas adalah merupakan contoh bagaimana rupa kucing anda jika dijangkiti penyakit ini. Yang pasti ianya membuatkan anda tidak senang hati bukan melihat kucing anda penuh dengan tahi mata dan hidung berair, Bukan itu sahaja, kucing juga pasti tidak akan merasa selesa dengan keadaan diri mereka seperti tidak terurus dan tak tentu arah. Inilah yang dinamakan penyakit pernafasan kucing atau jangkitan selsema kucing.

Baiklah, saya akan memberikan sedikit sebanyak info secara ringkas penyakit yang mudah menjangkiti kucing di negara kita.

Penyakit ini akan berjangkit kepada kucing lain melalui bersih, batuk kucing atau dibawa oleh pembawa penyakit ini.
Penyakit Pernafasan Atas Kucing ini hanya akan menjangkiti bahagian hidung, mata. Ia berpunca daripada jangkitan beberapa kuman iaitu

  • Virus Herpes
  • Virus Calici
  • Chlamydophilia
  • Bakteria mycoplasma
  • bakteria bordetella
Penyakit ini hakikatnya boleh dielak jika kucing diberi vaksinasi mengikut protokol yang ditetapkan.

Apakah simptom atau tanda-tanda menunjukkan kucing anda tidak sihat dan lebih menjurus menunjukkan ia merupakan penyakit pernafasan:

  • Bersin yang berulang kali
  • Hidung berair (kucing pada normal akan mempunyai hidung berair tetapi tidak akan mengeluarkan cecair hidung yang berlebihan)
  • Kedua-dua belah mata berdaki atau mempunyai pengeluaran tahi mata yang berlebihan (Jika kucing anda hanya menunjukkan simptom ini tetapi melibatkan sebelah sahaja mata, ia mungkin tanda kucing anda mengalami penyakit mata sahaja)
  • Batuk (hakikatnya kucing tidak akan selalu batuk jika sihat)
  • Ulser pada bahagian dalam mulut atau hidung (jika terdapat bahagian yang bengkak, merah dan agak panas)
  • Demam
  • Hidung tersumbat (Anda akan mendapati kucing anda berbunyi kuat ketika cuba bernafas dan bunyi tersebut seperti keluar dari kerongkong)
Kucing yang bagaimana mempunyai kemungkinan lebih tinggi untuk dijangkiti penyakit ini? Jika anda mempunyai beberapa ekor kucing, atau kucing anda sentiasa bersosial di luar rumah, kucing di kedai haiwan atau pusat membiak kucing, pusat boarding jika anda selalu menghantar kucing terutama waktu perayaaan.

Bukan itu sahaja, jika anda mempunyai kucing jenis Parsi, mereka lebih mudah untuk dujangkiti kerana struktur anatomi hidung mereka yang agak pendek dan kurang panjang berbanding kucing lain (Ruang dalam hidung yang pendek akan menyebabkan saluran pernafasan lebih mudah untuk tersumbat, menghasilkan lebih banyak bendalir).

Jika dilihat dari struktur umur pula, anak kucing adalah lebih mudah dijangkiti kerana mereka mungkin masih mempunyai fungsi immuniti badan yang belum lagi sempurna.

Selsema kucing ini kebanyakan akan mempunyai jangka masa jangkitan dalam 7 hingga 10 hari.

Tetapi yang paling penting yang perlu kita fahami tentang penyakit ini ialah, jika kucing anda mengalami stres yang teramat sangat hingga mengganggu fungsi normal fisiologi badan mereka atau mengganggu sedikit sebanyak perilaku mereka, maka lebih mudah untuk mendapat penyakit ini. Apa yang ingin saya maksudkan ialah, kucing tidak akan mudah mengalami stres, tetapi jika ada faktor luaran terutamanya yang mengubah kehidupan mereka dan membuat mereka stres, kucing akan mudah dijangkitinya. Contohnya jika kucing baru sahaja mengalami pembedahan seperti dikasi, atau diletakkan di tempat baru seperti boarding, atau terdapat kucing baru di rumah anda atau juga berpindah rumah.

Adakalanya kucing ini tidaklah memberikan kesan atau mengganggu kehidupan kucing ini sepenuhnya jika dijangkiti penyakit ini. Namun jika anda masih boleh membawa kucing anda ke Vet yang berhampiri untuk mendapatkan rawatan awal sebelum melarat. Apabila penyakit ini membawa kepada tahap kronik atau melarat kepada kucing, anda perlu membawa segera ke klinik vet. Cuba perhatikan kucing anda, samaada mereka menunjukkan tanda seperti yang saya senaraikan di bawah:

  1. Tidak ada selera makan, ini kerana penyakit ini telah mengganggu sistem saraf pusat (otak) dan menyebabkan kucing anda tidak mempunyai keinginan makan.
  2. Bernafas dengan mulut terbuka terjadi apabila saluran pernafasan kucing dari hidung hingga ke bahagian trakea telah tersumbat sepenuhnya, maka untuk mendapat oksigen terpaksalah kucing bernafas melalui hidung.
  3. Demam yang panas, bukan setakat boleh dilihat menggunakan termometer malah anda juga dapat merasakan badan kucing anda panas apabila memegangnya. (Suhu normal bagi kucing secara amnya adalah antara 38.5 ke 39.2 Celcius)
Bawa kucing anda segera ke klinik, kerana apabila demam kucing mudah akan kehilangan bendalir badan dengan banyak. Bukan itu sahaja ulser, bengkak akan terjadi di sekeliling mata, hidung dan mulut. Jika anak kucing pula, maka mereka akan lebih mudah mendapat jangkitan radang paru-paru dan akhirnya boleh membawa maut.

Bagaimana Vet diagnos penyakit ini?

Secara amnya penyakit ini akan mula-mula dikenal pasti melalui tanda-tanda dan simptom yang ditunjukkan.
Kemudian disusuli soal siasat atau pertanyaan berkenaan sejarah kucing ini yang ada menunjukkan kucing tidak pernah di vaksin juga menjurus kepada penyakit ini.
Bagi mendapat hasil yang lebih baik, sesetengah klinik yang lebih kompleks akan mengambil sampel kucing tersebut seperti tahi mata, air liur kucing untuk dihantar ke makmal dan dikenal pasti kuman penyebab kerana ini akan lebih mudah
untuk dirawat.

Bagaimana untuk mengubatinya..

Boleh diubati, yang pertama apabila kucing anda dibawa ke klinik veterinar, mereka pasti akan perlu memberikan pengganti bendalir badan kerana kucing itu telah kehilangan banyak sangat air dalam badan. Kucing anda akan perlu di letakkan di wad sekurang 1 ke 2 hari untuk diberi rawatan bedalir untuk kembali keseimbangan air dalam badan.

Kemudian baru dimulakan dengan rawatan antibiotik kerana ada diantara kuman punca penyakit adalah bakteria. Antara antibiotik yang mungkin akan digunakan ialah doxycy
cline. Antibiotik ini akan disuntik ke dalam badan mengikut sukatan yang diperlukan. Begitu juga ubat titik mata akan turut serta diberi untuk mengurangkan simptom penyakit.

Pendapat saya yang penting jika anda mempunyai beberapa kucing di rumah atau kerap kali anda menghantar kucing ke kedai haiwan untuk boarding terutama waktu perayaan, maka wajiblah anda membawa ke klinik vet untuk divaksin demi keselamatan kucing anda. Bayangkan jika kucing anda berharga RM700 atau dijaga dengan rapi dari kecil dan apabila sudah gemuk dan cantik secara tiba-tiba sahaja jatuh sakit akibat penyakit ini, pasti anda menyesal kerana tidak vaksin kucing tersebut.

Well, semua terletak di tangan anda. Wassalam

Masalah Kecacingan, Rawatan, Protokol Deworming - Perlukah dilakukan untuk kucing atau tidak?

Sebelum saya pergi mendalam berkongsi sedikit ilmu dan tips untuk kucing anda tentang masalah cacing dan keperluan deworming. Berfikir dahulu, adakah kucing anda perlukan rawatan deworming?

Ini kerana bagi pendapat saya, ia merangkumi pelbagai faktor yang perlu difikirkan dahulu sebelum membuat keputusan untuk melakukan rawatan cacing.

Yang pertama adakah kucing anda jenis yang tidak pernah keluar dari rumah (indoor) atau jenis yang sentiasa keluar masuk rumah (free roamer, outdoor). Jika kucing jenis yang indoor, maka kemungkinan untuk kucing menjejak kaki ke tanah atau tempat yang kotor, seperti sampah atau longkang mungkin tidak berlaku. Maka peratusan untuk mendapat jangkitan cacing ini amatlah kurang berbanding kucing yang sentiasa keluar rumah berada di tempat-tempat kotor.

Yang kedua ialah adakah di rumah hanya mempunyai seekor kucing atau lebih dari seekor? Jika lebih dari seekor maka kemungkinan untuk jangkitan cacing perpindah dari satu kucing ke kucing lain tinggi. Ini kerana ada beberapa jenis cacing yang boleh berpindah dari satu kucing ke yang lain melalui pengatara seperti kutu, hama. Ataupun cacing akan menghasilkan telur untuk membiak yang mana ia akan dilepaskan bersama tinja kucing. Kemudian kucing anda pasti akan mencium-cium tahi tersebut atau menyentuh tahi itu, lalu telur-telur akan melekat dan perpindah ke kucing atau perumah baru. Kucing yang mempunyai telur cacing melekat akan secara tidak sengaja menjilat telur yang melekat di bulu (kucing mempunyai tabiat suka menjilat bulu). Akhirnya, telur tersebut akan suvive di dalam sistem penghadaman kucing dan melengkapkan kitar hidup hingga ke dewasa kerana di dalam usus kucing mempunyai banyak nutrisi. Ini akan memulakan kembali satu jangkitan baru.

Jika kucing anda seekor sahaja yang dibela di rumah dan ia tidak pernah berjalan keluar rumah dan tak pernah menjejak kaki ke tanah, mari kita lihat apakah persekitaran kucing. Kucing yang hidup di persekitaran bersih dan sentiasa di kemas dan cuci seperti dirumah, tidak mudah mendapat jangkitan kucing.

Ada juga beberapa pendapat veterinar mengatakan jika kucing itu berdiet makanan dalam tin terutama yang jenis sukakan daging, masih mempunyai kemungkinan untuk mendapatkan jangkitan cacing.

Walau apa pun pendapat saya berikan di atas, atau betapa konkritnya pendapat saya dalam membuat keputusan keperluan untuk kucing mendapat rawatan cacing. Semuanya terletak pada tuan kucing itu sendiri. Jika anda merasa membazir untuk mendapatkan rawatan ini, maka tidak perlu dpaatkannya. Ada juga sesetengah pemilik kucing hanya mendapatkan rawatan cacing apabila kucing anda dilihat menghasilkan tahi yang diselaputi cacing kerawit atau kucing anda secara tiba-tiba cirit-birit.

Secara peribadi saya katakan, rawatan untuk cacing diberikan jika terdapat faktor yang mempengaruhi kucing itu untuk mendapat jangkitan cacing atau sudah mendapat bukti jelas kucing anda mengeluarkan cacing bersama-sama tahi.

Cuma perlu diingat, jika kucing anda terbukti dijangkiti masalah cacing, perlu segera ubati. Ini kerana walau hanya 1 ekor cacing kerawit yang kelihatan, ia mampu menyebarkan masalah ini kepada manusia.

Jika mempunyai pertanyaan mendalam tentang info di atas silalah berkunjung ke vet anda yang berdekatan. Wassalam

Vaksin Gambar-gambar

HAH kalau sebelum ini anda diperkenalkan jenis vaksin tanpa saya memperkenalkan gambarnya. Sekarang mari lihat satu persatu gambarnya, nanti takde la rasa risau apa lah jenis vaksin yang masuk kat dalam kucing aku tuu..


1. Yang kat atas ni ialah FEL-O-VAX IV + CALICIVAX iaitu yang jenis 4 dalam 1 tu






2. Yang tak berapa nampak ini FEL-O-GUARD PLUS 3 + LVK (3 DALAM 1 TAMBAH LEUKEMIA)




3. FEL-O-GUARD PLUS 3 (3 DALAM 1)






4. FEL-O-VAX LVK IV + CALICIVAX (4 DALAM 1 TAMBAH LEUKEMIA)



5. FELOCELL 3 (3 DALAM 1)





6. FEL-O-VAX PCT + CALICIVAX( 3 DALAM 1)







7. FELINE FOCUS 3 (3 DALAM 1)







8. FEL-O-GUARD PLUS 4 + LVK (4 DALAM 1 TAMBAH LEUKEMIA)








9. FELOCELL 4 (4 DALAM 1)
























Rumusan Program Imunisasi Kucing Di Malaysia

Baiklah sebelum ini diterangkan secara mendalam jenis dan kategori vaksin untuk kucing yang ada di negara kita. Bagaimana pula penyakit Rabies atau ramai panggil sebagai anjing gila. Rabies di Malaysia telah dikawal ketat penularannya malah tidak ada satu pun kes Rabies dilaporkan sejak kerajaan mengambil langkah awal dengan mengkuarantinkan haiwan yang masuk ke Malaysia melalui semua jalan perhubungan serta membuat saringan kesihatan untuk haiwan. Jika ada simptom atau sejarah haiwan tersebut mempunyai kaitan dengan Rabies atau berasal dari negara mempunyai penularan Rabies maka haiwan itu akan dihalang masuk ke Malaysia.

Secara keseluruhan program imunisasi kucing di Malaysia bermula pada umur kucing 8 hingga 12 minggu mengikut jenis vaksin yang diberi.

Mengapa 8 minggu ke atas barulah kucing boleh diberi perlindungan vaksin? Anak kucing daripada lahir mereka akan meminum susu emaknya. Daripada susu emak kucing mereka menerima perlindungan sistem imuniti melawan penyakit atau dipanggil 'maternal imuniti'. Setelah umur 8 minggu hingga 12 minggu imuniti yang diberi daripada susu emaknya akan berkurangan. Malah rata-rata umur emak kucing tidak lagi menyusukan anaknya atau dipanggi pisah susu daripada umur 6 minggu. Ini bermakna setelah anak kucing anda tidak lagi menerima imuniti daripada susu, maka mudahlah mereka terdedah kepada pelbagai penyakit. Oleh itu sesuailah diberi vaksin bermula pada umur 8 hingga 12 minggu.

Setelah dos pertama diberi, kucing anda perlu mengulangi dos kedua lebih kurang 4 minggu seterusnya bagi memberikan lagi ketahanan imuniti. Akhir sekali, anda hanya perlu ulangi vaksin secara tahunan.

Diharap dapatlah memahami secara ringkas, imuniti yang perlu diberi kepada kucing kesayangan anda. Sebarang masalah atau soalan berkaitan vaksin janganlah malu-malu bertanya kepada saya atau berkunjung ke klinik veterinar anda berkaitan, doktor veterinar sangat sedia membantu.

Segala yang baik datang daripada-Nya, segala yang buruk dan kurang datang daripada saya hamba-Nya yang lemah. Wassalam

Thursday, August 19, 2010

Vaksin kucing, jenis2 yang perlu kita tahu

Vaksin untuk kucing pada hakikatnya pelbagai jenis di pasaran, semuanya mempunyai immunisasi yang berbeza untuk melawan pelbagai penyakit. Secara kesimpulannya program vaksinasi kucing di Malaysia ini adalah tertumpu kepada 5 jenis penyakit atau mikrob yang menjadi punca permasalahan utama kucing. Antaranya ialah:

  • Rhinotracheitis
  • Calicivirus
  • Chlamyodophilia
  • Feline Distemper atau Panleukopenia atau Feline Enteritis
  • Feline Leukemia

Rhinotracheitis (Herpes Virus) dan Calicivirus adalah penyebab utama penyakit pernafasan kucing yang menyebabkan kucing mengalami tanda-tanda mata dan hidung berair, demam.

Feline Distemper yang disebabkan oleh parvovirus akan memberikan tanda infeksi atau jangkitan pada usus yang menyebabkan kucing tidak dapat menghadam makanan dengan baik.

Manakala Feline Leukemia akan menyebabkan sel darah putih tidak dapat dihasilkan dalam kuantiti yang diperlukan terutama jika ada jangkitan kuman.

Baiklah seterusnya saya akan menerangkan secara ringkas beberapa produk vaksin kucing yang perlu anda tahu.

Pertama sekali kita ada vaksin yang memberi perlindungan kepada 2 kuman atau dipanggil vaksin 2 dalam 1.

  • Felocell FVRC dikilangkan Pfizer merupakan vaksin dalam bentuk dititik ke dalam hidung mampu melindungi dari jangkitan penyakit pernafasan (Rhinotracheitis dan Calcivirus). Suntikan pertama akan diberi sekurang-kurang umur 12 minggu dan diulangi 4 minggu kemudian. Dan kemudian secara tahunan.

Seterusnya vaksin yang dikategorikan 3 dalam 1. Ia memberi perlindungan melawan penyakit pernafasan (Rhinotracheitis, Calicivirus) dan Feline Distemper.

  • Feline Focus 3 keluaran Durvet juga merupakan ubat titik untuk hidung dan mata. Suntikan pertama adalah diberi pada umur 12 minggu dan diulang 4 minggu kemudian. Dan diberi secara tahunan.
  • Felocell 3 keluaran Pfizer. Dos pertama diberi pada umur 12 minggu kemudian dos kedua adalah pada 4 minggu kemudian. Akhir diulangi secara tahunan.
  • Fel-O-Vax PCT + Calicivax keluaran Fort Dodge. Suntikan pertama diberi pada umur kira-kira 8 hingga 10 minggu dan diulangi untuk dos kedua 4 minggu kemudian. Dan diakhiri suntikan secara tahunan.
  • Fel-O-Guard Plus 3 (Fort Dodge). Dos diberi untuk kali pertama pada umur 8 minggu dan diulangi 4 minggu kemudian. Akhir sekali vaksin diulangi secara tahunan.

Terdapat juga versi lain untuk vaksin 3 dalam 1 iaitu ditambah dengan perlindungan melawan penyakit Feline Leukemia.

  • Fel-O-Guard Plus 3 + Lv-K keluaran Fort Dodge yang memberi perlindungan melawan 4 mikrob, iaitu melawan penyakit pernafasan (Rhinotracheitis dan calicivirus), Feline Distemper (parvovirus) dan Feline Leukemia (FeLV). Dos pertama diberi pada umur 8 minggu, dan diulangi 4 minggu kemudian. Barulah kucing anda perlu mendapatkan vaksin secara tahunan.

Kini beralih kepada vaksin yang memberi perlindungan kepada kucing anda yang lebih meluas, iaitu vaksin 4 dalam 1. Kesemua jenis vaksin dibawah akan melindungi kucing anda daripada penyakit pernafasan (Rhinotracheitis, Calicivirus), Feline Distemper dan Chlamydophilia.

  • Fel-O-Vax IV + Calicivax keluaran Fort Dodge. Dos diberi pada umur antara 8 ke 10 minggu dan diulangi pada 4 minggu kemudian. Dan barulah vaksin diulangi secara tahunan.
  • Felocell 4 keluaran Pfizer. Dos pertama bermula pada umur 12 minggu dan dos kedua diulangi 4 minggu kemudian. Barulah kucing anda perlu mengulangi dos secara tahunan.
  • Fel-O-Guard Plus 4 keluaran Fort Dodge. Vaksin ini akan diberi pada umur kira-kira 8 minggu dan diulangi 4 minggu kemudian. Akhir sekali diulangi secara tahunan.

Seterusnya jenis vaksin berikutnya akan memberi perlindungan kepada kucing anda secara maksimum. Ia dipanggil vaksin 4 dalan 1 ditambah Leukemia virus. Seperti yang 4 dalam 1, vaksin kategori ini melindungi kucing daripada penyakit pernafasan (Rhinotracheitis, calicivirus), Chlamydophilia, Feline Distemper dan Feline Leukemia Virus.

  • Fel-O-Guard Plus 4 + Lv-K keluaran Fort Dodge ini diberi pada umur 8 minggu untuk dos pertama. Diulangi 4 minggu kemudian dan akhir sekali perlu diulang vaksin setiap tahun.
  • Fel-O-Vax Lv-K IV + Calicivax keluaran Fort Dodge ini bermula dos pertama pada umur antara 8 hingga 10 minggu dan diulangi 4 minggu kemudian. Barulah vaksin perlu diberi secara tahunan.

Keputusan untuk memberi vaksin kepada kucing anda adalah tuan kucing itu sendiri. Yang mana pilihan hati terpulanglah. Mengetahui jenis vaksin dan jenis imunisasi yang diberi boleh membantu anda memahami masalah kesihatan kucing dengan lebih baik. Sekiranya ingin mengetahui dengan lebih mendalam tentang vaksin, imunisasi, kesan pada kucing anda maka berkunjunglah mana-mana klinik veterinar di tempat anda atau bolehlah ajukan pada saya. Buat pengetahuan semua, diatas adalah merupakan vaksin yang boleh didapati di Malaysia, mungkin ada juga beberapa jenis vaksin yang tidak saya senaraikan. Oleh itu jika perlu maklumat lanjut, jumpalah doktor veterinar anda hari ini.

Pada posting akan datang, saya akan memberikan sedikit maklumat tentang permasalahan cacing yang kucing anda mungkin alami dan cara mengatasi. Semoga segala maklumat dan ilmu yang saya kongsikan dapat memberi faedah untuk semua.

Yang Baik itu datang dari Allah S.W.T. dan yang Kurang dan lemah itu datang daripada saya sebagai hamba-Nya. Wassalam