Friday, October 7, 2011

Ear mites atau kutu telinga di kucing





Salam sejahtera

Mungkin saya tidak pernah membawa tajuk ini untuk diperbincangkan atau mungkin pernah. Tapi adalah lebih baik untuk saya mengulanginya lagi. Kali ini topik berkenaan masalah kutu telinga di kucing


TAHI TELINGA MEMENUHI SELURUH BAHAGIAN RUANG LUAR TANDA JELAS BERMASALAH

Kucing anda mungkin akan merasa masalah kegatalan yang teramat sangat, suka menggaru telinga sehingga berdarah. Kemudian anda lihat telinga penuh dengan tahi daki berkumpul sehingga di luar seperti gambar di atas. Daki tersebut bukannya warna kuning tapi agak kehitaman. Maka kucing anda 80% diyakini ada masalah ear mites.

Ear mites iaitu Otodectes cynotis memang akan memberikan masalah pada kucing. Ia akan menimbulkan kesan alahan atau alergi yang akan membuatkan keadaan kegatalan yang teramat sangat di bahagian luar telinga kucing.

INILAH RUPA OTODECTES CYNOTIS, MEMANG GANAS JIKA DILIHAT BAWAH MIKROSKOP

Tanda-tanda mudah yang anda boleh kenal pasti kucing anda bermasalah ini ialah:
  1. Kegatalan terasa di bahagian telinga, muka dan sebahagian leher menyebabkan mereka kerap menggaru dan menghabiskan masa seharian hanya menggaru.
  2. Tahi telinga yang berwarna merah atau kehitaman akan kelihatan dengan sangat jelas, untuk tahi telinga yang normal adalah berwarna kekuningan.
  3. Jika perkara ini berlarutan lama akan nampak kerak di bahagian kulit telinga dan sebahagian muka, menunjukkan telah berlaku kerosakan berterusan pada kulit di telinga.
  4. Saya selalu menggunakan aplikasi pemerhatian yang saya sarankan kepada Tuan Kucing yang datang membuat rawatan jika mereka meragui ia berpunca dari kutu telinga, saya nasihatkan kepada mereka cuba bersihkan telinga kucing yang bermasalah itu di waktu pagi, kemudian perhatikan telinga tersebut di waktu petang. Apa yang anda nampak, jika telinga itu telah penuh dan padat kembali dengan tahi telinga hitam maka berkemungkinan besar ia adalah masalah Otodectes cynotis.


KITAR HIDUP KUTU INI DI SATU KUCING BOLEH MENGHASILKAN LEBIH DARI 5 TELUR

Apakah rawatan yang sewajarnya:

Banyak yang boleh dilakukan, tapi yang penting jika kebersihan kucing dan proses pembersihan diri kucing itu tidak dilakukan secara bulanan atau mingguan maka masalah ini akan berulang. Adalah lebih baik apabila masalah ini telah dirawat maka perlu dilakukan pembersihan dan mandian ke atas kucing sebaiknya 3 minggu sekali atau 2 minggu sekali.

OK lah rawatan yang terbaik perlu dilakukan apabila dapat tahu masalah ini berlaku:

  • Dapatkan ear canker drop atau dipanggil ubat telinga untuk kucing, caranya samaada anda boleh titikkan 1 titik ubat itu ke dalam telinga bermasalah 4 kali sehari. Atau anda titikkan ubat tu ke tisu atau pengorek telinga kucing dan cuci telinga tersebut 4 kali sehari. Pastikan anda keluarkan tahi telinga yang berwarna hitam semaksimum yang boleh. Namun jika anda melihat ada kesan darah kelihatan bermakna anda melakukan terlalu dalam dan perlu berhenti. Tapi anda tidak perlu risau jika ada sedikit darah kelihatan kerana telinga kucing mempunyai mekanisme penyembuhan yang cepat.
EAR CANCER DROP SEPERTI SAYA BERITAHU
  • Anda juga boleh membawa kucing tersebut kepada Vet Clinic yang berdekatan. Doktor Vet akan membersihkan telinga kucing, dan rawatan lain yang akan mereka lakukan ialah menitikkan ubat Ivermectin ke dalam telinga atau memberikan suntikan Ivermectin. Anda akan perlu datang kembali ke Vet berkenaan untuk 2 kali lagi rawatan. Penggunaan ubat Ivermectin untuk merawat masalah ini memang sangat berkesan dan cepat, dalam 3 minggu kucing anda akan sembuh sedia kala,
INI UBAT SUNTIKAN IVERMECTIN
  • Sebagai pencegahan selepas sudah sembuh, adalah lebih baik dapatkan Frontline Spot On kerana ia ada Ivermectin yang boleh memberi kesan pada membunuh Otodectes cynotis. Spot On ini akan di sapu pada bahagian kulit di atas leher kucing dan tidak akan dimandikan sekurangnya seminggu untuk memastikan ubat tersebut berkesan.
UNTUK PENCEGAHAN LEBIH BAIK DIBERIKAN PADA KUCING ANDA FRONTLINE SPOT ON HANYA BERHARGA TIDAK LEBIH RM20


Apa yang penting anda perlu lakukan perkara yang betul untuk rawatan yang terbaik bagi kucing anda. Tak kira jika Vet anda meminta rawatan 3 kali sebulan atau menjalankan rawatan sendiri. Masalah ini jika tidak diberi rawatan sewajarnya ia boleh berjangkit pada kucing lain atau pada haiwan lain. Sekiranya ada keraguan tentang masalah ini, sila hubungi Vet terdekat atau boleh bertanya pada saya.

Baiklah sahabat semua, saya undur diri dahulu jika ada pertanyaan dan masalah kesihatan haiwan diharap dapat diajukan dan saya akan cuba membantu sebaik mungkin.

Love

Dr Hafidz

No comments:

Post a Comment